Thursday, May 22, 2014

Rahsia kebahagiaan RumahTangga

Kebahagiaan tidak terjadi secara kebetulan melainkan anda sendiri yang menjadikannya (Happiness does not just happen, you have to make it happen). Menyentuh berkenaan kebahagian hidup sebagai suami isteri, ia adalah sesuatu yang dijadikan, diusahakan oleh masing-masing suami dan isteri. Jika kedua-dua pihak berdiam diri mengharapkan kebahagiaan, ia bukan sahaja tidak akan terjadi malah apa yang akan berlaku ialah sebaliknya, iaitu kebosanan, kemurungan dan perceraian. Oleh kerana itulah ada sebuah pepatah Inngeris yang berbunyi “Being passive in a relationship is a recipe for divorce”.



Bahagia sebagai suami isteri tidak semesti melalui cincin berlian, jam tangan berjenama dan bercuti di hotel lima bintang. Ia boleh diusahakan dalam kehidupan sehari-harian dengan apa yang semua kita sedia memilikinya, iaitu mata, mulut dan telinga. Berikut saya kongsikan beberapa petua kebahagiaan rumahtangga melalui mata, mutul dan telinga.



Mata.

Apabila suami bertemu isteri, isteri bertemu suami, maka pandanglah muka pasangan masing-masing dengan wajah yang terbaik. Sebaik saja bangun pagi misalnya, pandanglah muka suami dengan ucapan manis “Selamat pagi abang”. Apabila pulang dari pejabat misalnya, pandanglah muka isteri dengan wajah ceria “Assalamu’alaikum sayang”. Ringkasnya, apabila sahaja bertemu baik di pagi, siang, petang atau malam, hadiahkanlah pandangan dengan wajah yang terbaik.



Petua ini sebenarnya merupakan tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam sebuah hadisnya baginda berpesan: Janganlah kamu menganggap remeh sedikit pun terhadap kebaikan, meski pun kamu hanya berwajah ceria kepada saudaramu (sesama muslim) ketika bertemu. [Shahih Muslim, no: 4760/2626] Dalam sebuah hadis yang lain baginda berpesan: Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang ceria, serta kamu menuangkan air dari bekas air kamu ke dalam gelas milik saudaramu. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1893/1970] Berwajah ceria tentu saja dengan memandang ke arah orang yang kita persembahkan wajah ceria tersebut. Tidaklah seseorang itu dianjurkan berwajah ceria apabila memandang ke dinding.



Meski pun hadis-hadis ini berbentuk umum agar dipraktikkan apabila bertemu dengan sesama umat Islam, siapakah yang lebih utama untuk kita mempraktikkannya melainkan terhadap pasangan hidup kita? Janganlah kita berwajah ceria apabila bertemu dengan jiran dan rakan sepejabat, namun berwajah “sepuluh sen” apabila bertemu dengan pasangan sendiri.



Mulut

Setelah mata memandang dengan wajah yang ceria, mulut pula mengucapkan kata-kata yang baik lagi jelas. “Assalamu’alaikum”, “Selamat pagi”, Selamat petang”, “Apa khabar?”, “Bagaimana hari abang?” “Apa perkembangan anak di tadika?” adalah antara ucapan yang boleh dikemukakan apabila bertemu dengan pasangan.



Mulut juga merupakan alat komunikasi yang mudah, maka manfaatkanlah ia dengan baik. Berbicaralah, bersembang-sembanglah, berkomunikasilah dengan pasangan anda dengan nada yang jelas lagi lancar, sambil memandangnya. Usah berbicara terlalu cepat atau dengan sebutan yang tidak jelas. Bersungguh-sungguhlah berbicara dengan pasangan anda sebagaimana anda bersungguh-sungguh berbicara dengan pelanggan atau rakan pejabat.



Jika kita merujuk kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda berbicara dengan lancar, jelas dan satu persatu sehingga orang di sekitar baginda mudah mengingati apa yang baginda ucapkan. A’isyah, isteri Rasulullah menerangkan bahawa Sesungguhnya apabila Nabi shallallahu 'alaihi wasallam hendak berbicara, baginda berbicara sehinggakan jika seseorang itu ingin menghitungnya, nescaya dia akan dapat menghitungnya. [Shahih al-Bukhari, no: 3303/3568] Maksud menghitung di sini ialah baginda berbicara sepatah-sepatah dengan jelas sehingga dapat dihitung satu persatu perkataan baginda.



Pada ketika yang lain A’isyah menerangkan: Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak berbicara dengan laju sebagaimana kalian berbicara dengan laju. Baginda berbicara dengan jelas lagi satu persatu sehingga dapat dihafal oleh sesiapa yang mendengarnya. [Musnad Ahmad, no: 25012/26209 dengan sanad hasan]



Demikianlah etika berbicara Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang amat baik untuk kita ikuti. Malah tiada siapa yang lebih patut kita berbicara dengan kesungguhan, kejelasan dan perlahan (tidak laju) melainkan terhadap pasangan kita sendiri. Jauhilah perbicaraan yang “nak tak nak”, ayat yang tidak lengkap, pilihan perkataan yang samar-samar ertinya atau berbicara dengan mulut yang dipenuhi makanan.



Apabila pasangan kita sedang berbicara, maka janganlah memotong perbicaraannya. Biarlah beliau menghabiskan apa yang ingin disampaikan, kemudian barulah kita berbicara atau bertanya. Pernah sekali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang berbicara dengan seseorang, lalu datang seorang Arab Badui (dari pendalaman) yang tiba-tiba terus bertanya soalan kepada baginda. Baginda tidak melayan soalan tersebut, sebaliknya meneruskan perbicaraanya. Setelah selesai, barulah baginda beralih kepada Arab Badui yang bertanya itu. [Shahih al-Bukhari, no: 57/59] Tindakan Rasulullah tidak melayan pertanyaan Arab Badui tersebut menunjukkan bukanlah satu etika yang baik untuk memotong perbicaraan seseorang.



Telinga

Jika diperhatikan semula hadis-hadis berkenaan etika berbicara Rasulullah, akan didapati para sahabat sungguh-sungguh memberi perhatian sehingga mereka dapat menghitung perkataan baginda dan menghafalnya. Dalam erti kata lain, mereka benar-benar “memasang telinga” untuk mendengar perbicaraan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.



Oleh itu di antara sesama pasangan, berilah perhatian dan dengarlah apa yang dibicarakan oleh pasangan kita. Janganlah telinga yang Allah kurniakan ini kita gunakan untuk mendengar muzik, TV, dan gossip sesama rakan tetapi terhadap sesama pasangan, kita seolah-olah menutupnya.



Demikianlah tiga alat yang kita semua sedia milikinya dan sedia untuk menggunakannya. Alat-alat ini kita lazim gunakan dengan baik di pejabat, bersama rakan atau pelanggan, namun jarang-jarang digunakan dengan baik apabila di rumah bersama pasangan. Oleh itu wahai para suami dan isteri, wahai bakal suami dan isteri, manfaatkanlah mata, mulut dan telinga anda sebaik-baiknya bagi meraih kebahagiaan hidup bersama.



Sumber : Artikel ini diterbitkan pada keluaran Februari 2013 majalah Pesona Pengantin dan disediakan oleh Kapten Hafiz Firdaus Bin Abdullah, merupakan seorang juruterbang Malaysia Airlines dan beliau sangat meminati bidang penulisan ilmiah berkaitan agama. Seorang panel tetap majalah Pesona Pengantin untuk ruangan Bab Munakahat dan Soal Jawab Munakahat.


Kongsikan:

0 comments :

Post a Comment

Tentang Saya

Tentang Saya
Kesihatan & Blogging Minat Saya. Berniat membantu anda supaya memperolehi kesihatan yang baik bersama Shaklee

Popular Posts

Categories

Contact Us

Name

Email *

Message *

Total Pageviews